2. Wanita Bercakap, Lelaki Berdiam Diri
Salah satu perbezaan yang paling besar antara lelaki dan wanita adalah bagaimana mereka mengatasi stres dan masalah luaran(bukan masalah rumahtangga suami-isteri).
Sebahagian lelaki cenderung untuk menjadi lebih fokus kepada perkara tersebut, dan fokus dikurangkan kepada perkara lain di sekitarnya, mungkin kelihatan seolah-olah tidak peduli akan perkara lain yang penting, seperti isteri dan anak-anak.
Manakala majoriti (bukan semua) wanita pula cenderung untuk menjadi emosional, dan ingin berinteraksi. Dalam situasi stres, apa yang lelaki perlukan untuk menghadapinya berbeza dengan apa yang wanita perlukan untuk menghadapinya. Tidak memahami dan tidak mengiktiraf perbezaan ini sering membawa kepada timbulnya perselisihan antara suami isteri.
Wanita Mengatasi Stres Melalui Bercakap
Komunikasi dan perkongsian adalah suatu yang penting buat wanita. Melalui perkongsian, keperluan emosi mereka dipenuhi.
Apabila mereka stress, secara nalurinya mereka rasa akan keperluan untuk berkongsi perasaan dan bercerita tentang segala masalah yang berkaitan dengan perasaanya ketika itu. Semasa mereka berkongsi, kadangkala mereka tidak membahagikan mengikut keutamaan, mana perkara yang besar, mana perkara yang kecil. Mereka bukanlah inginkan cadangan solusi – melainkan mereka benar-benar memintanya, tetapi apa yang diinginkan adalah tenang yang didapati melalui luahan dan difahami oleh pasangan.
Sekiranya mereka rasa didengari, maka mereka beransur-ansur berasa lebih lega, tenang, dan kurang stres. Sekiranya mereka rasa tidak didengari, keadaan tidak bertambah baik, malah mungkin bertambah buruk.
Bagaimana Reaksi Lelaki
Suami mudah menganggap bahawa apabila isteri berbicara dengannya tentang masalah, isteri ingin menyalahkannya. Semakin banyak yang tidak kena yang diluahkan, semakin dia rasa disalahkan. Ini adalah salah tanggapan, pada kebanyakan waktu.
Suami perlu memahami bahawa wanita meluahkan perasaan untuk berasa lebih tenang. Dia perlu tahu, bahawa isteri akan menghargai sekiranya dia menjadi pendengar yang baik, dan isteri tidak bermaksud untuk meletakkan dia bertanggungjawab atas segala masalah.
Jangan berasa kecewa apabila isteri bercakap tentang sesuatu yang suami tidak boleh membantu, tentang sesuatu di luar bidang kuasa suami. Beri sokongan kepada isteri. Bagaimana? Dengan menjadi pendengar yang baik, cuba memahami apa yang dirasai isteri.
Tanpa Nada Menyalahkan
Dengan kesedaran bahawa sebahagian lelaki mudah rasa dipersalahkan apabila mendengar luahan masalah, isteri boleh cuba melatih diri untuk meluahkan perasaan yang tidak menyenangkan tanpa nada menyalahkan.
Lelaki dan Fokus
Apabila suami sedang berfikir tentang sesuatu masalah untuk diatasi atau berasa marah/sedih, isteri mudah menganggap bahawa suami sudah tidak pedulikannya lagi. Ini adalah salah tanggapan, pada kebanyakan waktu.
Apabila isteri merasakan bahawa suami bukan dalam mode cheerful, jangan menganggap diri diabaikan, tetapi perlu faham akan fisiologi perasaan dan tindakan lelaki pada umumnya.
Bagi lelaki pula, perlu sedar bahawa tindakan memberi terlebih fokus kepada perkara lain (samaada kerja, belajar, masalah lain) akan menyebabkan isteri terasa hati. Maka perlu bijak dalam menguruskan masa, dan fokus, agar kasih sayang suami-isteri tidak terjejas.
Antara cabaran yang besar bagi wanita adalah bagaimana untuk menafsir secara betul apabila lelaki berdiam diri, dan bagaimana untuk menyokongnya. Bagaimana untuk isteri menyokong suami, sekiranya diam lelaki itu kerana ada masalah yang sedang difikirkan?
Beri Mereka Ruang
Dalam pergaulan atau komunikasi wanita-wanita, salah satu cara menunjukkan bahawa seseorang itu mengambil berat adalah dengan bertanyakan pelbagai soalan tentang keadaan yang dihadapi. Adakah ini tindakan yang betul dalam komunikasi suami-isteri?
Sebahagian besar lelaki dilatih untuk hidup berdikari sejak kecil atau remaja. “You can do it. You must do it.” Maka apabila menghadapi sesuatu masalah atau cabaran, mereka akan cuba sehabis baik untuk mengatasinya, dengan upaya sendiri. Ini penting dalam membina keyakinan diri untuk mencapai kejayaan. Inilah tanda kekuatan. Meminta atau menerima pertolongan orang lain, sedangkan diri sendiri mampu lakukan, adalah tanda kelemahan. Tetapi meminta bantuan, tatkala benar-benar diperlukan, adalah tanda kebijaksanaan.
Maka, apabila isteri mengambil berat tentang suami, dengan cara yang isteri anggap membantu – berdasarkan pengetahuannya dan pengalamannya dalam interaksi wanita-wanita, suami kadangkala tidak boleh dan tidak mampu terima cara tersebut. Sikap ini yang wujud dalam sebahagian lelaki, perlu diketahui dan diiktiraf oleh wanita.
Apa yang isteri boleh buat, yang benar-benar membantu dan akan menghasilkan natijah yang baik?
1. Iktiraf dan memahami bahawa pasangan memerlukan masa sendirian.
2. Jangan bimbang tentang dia.
3. Buat aktiviti lain yang menggembirakan hati anda. Jangan jadikan suami sebagai satu-satunya punca kegembiraan anda.
Kembali ke Ketika Kita MARAH (Part 1)
Kembali ke Ketika Kita MARAH (Part 1)
Sumber : http://www.putera-islam.com
Oleh : Ahmad Faiz M.Sabri
No comments:
Post a Comment