Perasaan marah, satu perasaan yang kita tidak dapat lari daripadanya. Marah datang tanpa diduga. Yang penting adalah bagaimana kita mengawal dan menghadapi marah. Sekiranya kita tidak tahu caranya, banyak kesan negatif yang akan berlaku.
Akibat daripada kita tidak mampu mengawalnya, mungkin orang yang tidak bersalah pula menerima gelombang marah itu, terutamanya orang yang berada hampir dengan kita, mungkin isteri atau suami tersayang, mungkin anak tersayang, mungkin adik-beradik atau rakan-rakan. Mereka juga mungkin menyalahtafsir gelombang marah tersebut.
Tentang Marah
Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: "Berilah wasiat padaku."
Nabi s.a.w. bersabda: "Jangan marah." Orang itu mengulanginya berkali-kali tetapi Nabi s.a.w. tetap bersabda: "Jangan marah."
(Riwayat Bukhari)
Yang perlu dijelaskan sehubungan dengan hadis ini ialah:
(a) Orang yang bertanya itu menurut riwayat ada yang mengatakan dia itu ialah Ibnu Umar, ada yang mengatakan Haritsah atau Abuddarda'. Mungkin juga memang banyak yang bertanya demikian itu.
(b) Kita dilarang marah apabila berhubungan dengan sesuatu yang hanya mengenai hak diri kita sendiri atau hawa nafsu. Tetapi kalau berhubungan dengan hak-hak Allah, maka wajib kita pertahankan, misalnya agama Allah dihina orang dan Al-Quran diinjak-injak, dengan cara yang syar’ie dan berhikmah.
(c) Yang bertanya itu mengulangi berkali-kali seolah-olah meminta wasiat yang lebih penting, namun Rasulullah s.a.w. tidak menambah apa-apa. Hal ini kerana menahan marah itu sangat besar manfaat, faedah, juga ganjaran di sisi Allah.
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
(Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) manusia. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.
(Ali ‘Imran: 134)
Allah s.w.t menjanjikan cintaNya sebagai ganjaran. Tidak mahukah kita akan ganjaran tersebut? Tidak mahukah kita akan cintaNya, seagung-agung cinta, seindah-indah cinta?
Mari kita perhatikan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengawal perasaan marah kita.
Diam
Mengambil sikap diam, hal ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
Apabila salah seorang antara kalian marah maka hendaklah dia diam.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Seringkali apabila manusia marah, sukar baginya untuk menuturkan kata-kata yang baik. Maka kita disuruh untuk mendiamkan diri, seterusnya ambil langkah-langkah di bawah, dan berfikir sejenak.
Istia’zah
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah.
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayangi bisikan/fikiran jahat daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya).
(Al-A’raaf:200-201)
Godaan dan bisikan jahat syaitan itu tujuannya hanya satu, agar kita melakukan perkara yang buruk dan meninggalkan perkara yang baik. Maka berlindunglah kita kepada Allah dengan menyebut
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.
Dari Sulaiman bin Shurad r.a., katanya:
"Saya duduk bersama Nabi s.a.w. dan di situ ada dua orang yang saling maki-memaki. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesarlah urat lehernya, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya saya mengetahui suatu kalimat yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (kemarahannya), iaitu andaikata dia mengucapkan:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم, tentulah lenyap apa yang ditemuinya (kemarahannya) itu.”
Seseorang lalu berkata kepadanya (orang yang merah padam mukanya): "Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: Mohonlah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam."
(Muttafaq 'alaih)
Kita juga boleh membaca Ayat Kursi dan 3 surah Qul.
Duduk
Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila salah seorang antara kalian marah sedangkan dia berdiri maka hendaklah dia duduk, agar kemarahannya hilang, apabila masih belum reda maka hendaklah dia baring.
(Hadis riwayat Abu Daud)
Wudhu’
Sabda Rasulullah s.a.w:
Marah itu adalah bara api maka padamkanlah ia dengan berwudhu’.
(HR Al-Baihaqi dan sebahagian ulama yang lain menghasankannya)
Sumber : http://www.putera-islam.com
Oleh : Ahmad Faiz M.Sabri
No comments:
Post a Comment